Bangun Daripada Fantasi
Terlalu lama di ruang waktu,
Antara realiti atau mimpi,
Bagai kepingan papan cantum yang cuba untuk aku cari
jawapan,
Bagai permainan teka silang kata memohon aku
menyudahkan jalannya.
Aku kehilangan,
Buntu dalam mencari jalan,
Jalan untuk pulang ke dunia,
Atau mungkin,
hati aku menetapkan untuk hidup di dunia mimpi ini.
Kadang rasa seolah-olah aku terjaga,
Terjaga daripada lenaku,
Menghadapi hari-hari yang mendatang,
Namun aku sedar,
Aku belum terlepas daripada belenggu ini,
Belenggu fantasi kehidupan,
Dimana aku tidak mahu bangun,
Tidak mahu terjaga daripada mimpi-mimpi indah ini.
Realiti dunia yang kejam,
Manusia yang tamak,
Sombong dan bongkak,
Menjadikan aku takut,
Takut untuk menghadapi realiti,
Membuatkan aku berlari,
Terus berlari ke arah jalan tiada berpenghujung,
Seolah-olah permainan fantasi ini direka buat
diriku.
Kekuatan aku kumpul,
Demi bangkit menghadapi realiti,
Bangkit menjalankan tugasan harian,
Sebagai seorang manusia,
Yang terpaksa hidup dalam dunia fana,
Mengejar wang dan harta,
Berbunuh untuk hidup.
Inilah realiti,
Bukan fantasi,
Tiada lagi bunga-bunga menari,
Tiada lagi putera yang mendatangi aku,
Tiadalah lagi kehidupan fantasi yang aman,
Inilah realiti yang terpaksa aku hadapi,
Hidup sebagai manusia,
Yang dalam ketakutan,
Dibuli mental fizikal,
Dalam sedar antara tidak.
Fantasi kehidupan indah alamnya tiada terkata,
Berharap agar aku hidup di dunia tiada sengketa,
Tapi aku sedar,
Sedar bahawa aku perlu bangun,
Bangun menjalankan amanah,
Serta tanggungjawab yang diberikan oleh Dia,
Dia yang Maha Esa.
Fantasi kehidupan aku telah berakhir,
Inilah pengakhirannya,
Pengakhiran hidup di dalam angan-angan dan mimpi,
Yang kini kekal dalam dunia realiti,
Dan bukannya lagi dalam dunia fantasi.